Tuesday 23 September 2014

Kesan Dari Segi Ekonomi
Pengenalan

 Penanaman getah dan perlombongan bijih timah merupakan aktiviti utama yang diusahakan oleh pihak British di Tanah Melayu. Tujuan pihak British mengusahkan perlombongan bijih timah adalah untuk mendapatkan keuntungan kerana negara Eropah memerlukan banyak bijih timah dalam industri mengetin makanan. Manakala, getah ditanam oleh pihak British adalah brtujuan mengeksport ke negara Eropah untuk industri membuat tayar, kasut getah dan lain-lain.Pihak British telah menggunakan pelbagai cara untuk memajukan sektor penanaman getah dan sektor perlombongan bijih timah. Antaranya ialah pihak British memperkenalkan teknologi baru, menggalakkan pemodal asing untuk melabur di Tanah Melayu dan membawa masuk buruh-buruh dari negara China dan India. Kemajuan dalam sektor penanaman getah dan perlombongan bijih timah telah mendatangkan pelbagai kesan sama ada dari segi ekonomi, politik mahupun sosial. Esei ini akan membincangkan tentang kesan penanaman getah dan perlombongan bijih timah dari segi ekonomi, politik dan sosial di Tanah Melayu sehingga 1970.
Mewujudkan Dwiekonomi

  Dari segi ekonomi, kesan penanaman getah dan perlombongan bijih timah telah mewujudkan dwiekonomi di Tanah Melayu. Dwiekonomi bermaksud wujudnya dua bentuk ekonomi secara serentak iaitu ekonomi sara diri dan ekonomi dagangan. Ekonomi sara diri merupakan kegiatan ekonomi yang dijalankan untuk kegunaan sendiri dan keluarga tanpa lebihan hasil. Contohnya, pertanian dan perikanan. Manakala ekonomi dagangan merupakan kegiatan ekonomi yang berorientasikan keuntungan dan dijalankan secara besar-besaran. Contohnya, penanaman lada hitam dan getah. Kewujudan dwiekonomi ini adalah disebabkan pihak British hanya melibatkan pemodal asing dan buruh-buruh India dan China untuk mengusahkan penanaman getah dan perlombongan bijih timah. Penduduk tempatan hanya mengekalkan kedudukan mereka sebagai petani atau nelayan tanpa berlaku sebarang perubahan yang memberangsangkan dari segi taraf hidup. Sektor pertanian dan perikanan tidak diambil berat oleh pihak British kerana tidak mendapatkan keuntungan yang banyak. Oleh itu, sektor pertanian dan perikanan terus ketinggalan begitu sahaja dan kebanyakkan penduduk tempatan tergolong dalam golongan miskin. Dengan itu, wujudnya dua bentuk ekonomi iaitu ekonomi sara diri yang diusahakan oleh penduduk tempatan dan ekonomi dangangan yang diusahankan oleh pihak British.
Ketidakseimbangan Perkembangan Ekonomi
  Kesan kedua penanaman getah dan perlombongan bijih timah dari segi ekonomi ialah berlakunya ketidakseimbangan perkembangan ekonomi di Tanah Melayu. Tanah Melayu terdiri daripada banyak negeri dan tidak semua negeri mempunyai bijih timah serta tidak semua tanahnya sesuai untuk penanaman getah. Keadaan ini menyebabkan pihak British hanya menumpukkan perhatian terhadap negeri-negeri yang mempunyai bijih timah dan tanahnya sesuai untuk penanaman getah. Manakala negeri-negeri yang tidak mempunyai bijih timah tidak mendapatkan perhatian dan tidak dibangunkan oleh pihak British.
  Sebagai contoh, negeri Perak dan Selangor yang kaya dengan bijih timah telah diberikan perhatian oleh pihak British. Pihak British telah membangunkan kedua-dua negeri tersebut dengan menyediakan pelbagai  infrastruktur yang lengkap. Misalnya, pihak British telah membina jalan raya, jalan kereta api serta menyediakan bekalan air dan elektrik. Pahang, Trengganu dan Kelantan merupakan antara negeri yang tidak mendapat perhatian daripada pihak British. Negeri-negeri ini yang tidak mempunyai potensi untuk menjadi tempat yang mengusahakan perlombongan bijih timah dan penanaman getah telah ketinggalan daripada aspek perkembangan ekonomi. Dengan itu, berlakunya ketidakseimbangan perkembangan ekonomi di Tanah Melayu akibat penanaman getah dan perlombongan bijih timah.
Rumusan
  Daripada perbincangan di atas, jelaslah bahawa penanaman getah dan perlombongan bijih timah telah memberikan kesan yang amat besar terhadap ekonomi di Tanah Melayu. Pada mulanya, penanaman getah dan perlombongan bijih timah hanya memberikan manfaat kepada pihak British, tetapi apabila British menyediakan pelbagai kemudahan seperti kemudahan air dan elektrik telah memberikan keselesaan kepada penduduk tempatan.                                                                                                                                                                                                                              
Kesan Dari Segi Politik
Pengenalan
 Tanah Melayu kaya dengan hasil bumi yang berharga seperti bijih timah, getah dan lain-lain telah mendorong kuasa asing seperti Belanda dan British untuk menguasainya demi kepentingan diri.
 Keadaan politik yang tidak stabil di negeri-negeri ini telah memberi kesempatan kepada British untuk campur tangan dan memaksa sultan-sultan Melayu menerima naungan British. Ini berpunca daripada rempas kuasa antara pembesar terhadap kawasan cukai di tempat perlombongan bijih timah.Dasar campur tangan British telah membentuk Sistem Residen dan kemudiannya Negeri-Negeri Melayu Bersekutu untuk terus menguasai perlombongan bijih timah di Tanah Melayu.
Selain itu, perusahaan getah yang telah berkembang pesat pada awal abad ke-20. Perkembangan perusahaan getah dengan penanaman secara besar-besaran telah menyebabkan British memperkenalkan undang-undang tanah untuk menguasai terhadap perusahaan getah di Tanah Melayu.

Secara langsung, perkembangan bijih timah dan perusahaan getah telah memberi banyak kesan terhadap politik di Tanah Melayu sebelum 1970.
Pengenalan Undang-Undang Berhubung Tanah
            Dalam sektor pertanian, orang Melayu telah diperkenalkan kepada tanaman baru yang mendapat pasaran yang amat baik pada peringkat antarabangsa seperti getah oleh kerajaan penjajah British. Untuk meneruskan penguasaan kerajaan penjajah British terhadap perusahaan bijih timah dan penanaman getah, undang-undang berhubung dengan pemilikan tanah turut diperkenalkan.Namun, terdapat beberapa aspek undang-undang ini yang menindas golongan Melayu dan kuasa Sultan.
            Sebelum kehadiran British, hal yang berkaitan dengan pemilikan tanah dan pengunaan tanah tidak menjadi persoalan utama. Pemilikan tanah lebih bergantung kepada konsep usaha siapa yang mengusahakan tanah itu, dialah yang layak memilikinya. Pentadbirannya banyak dipengaruhi oleh adat Hindu (Sistem Tithe) iaitu sebahagian atau 1/10 daripada hasil yang diperolehi mesti diserahkan kepada Raja yang memerintah. Menurut Sistem Feudal iaitu semua tanah dipunyai oleh Raja dan pemilikan tanah diperturunkan kepada wakilnya seperti penghulu, pengawai dan ketua kampung. Sistem tanah tradisi Melayu terbahagi kepada beberapa jenis seperti Tanah Mati, Tanah Hidup, Tanah Kampung, Tanah Huma danTanah Sawah.
            Sebelum pembentukan NNMB pada tahun 1896, setiap negeri Melayu mempunyai sistem tanahnya sendiri dan dikendalikan oleh Residen di negeri berkenaan. Hanya pada tahun 1897, Enakmen Tanah Persekutuan yang berasaskan Sistem Torrens yang dijalankan di Australia telah diperkenalkan untuk menyeragamkan perundangan dan peraturan tanah di negeri-negeri Melayu. Sistem Torrens adalah untuk mewujudkan sistem pendaftaran tanah yang menjamin hak persendirian. Sistem ini juga penting untuk menyediakan rangka formal bagi urusniaga yang menjamin hak dan kepentingan. Seterusnya, ini dapat mewujudkan undang-undang bagi pindah milik berdaftar  
Hal ini penting kerana bagi pihak British rekod bertulis amat penting bagi menjamindan mengesahkan hak pemilikan tanah. Dengan kosep ini negeri Perak merupakan negeri Melayu yang pertama diperkenalkan dengan undang-undang tanah Barat. Ini dilakukan melalui Peraturan Tanah Perak 1879. Kanun Tanah Selangor telah diperkenalkan di Selangor pada tahun 1891. Di Sungai Ujong (Seremban) pula Peraturan Tanah Sungai Ujong telah diperkenalkan pada tahun 1887.
Walaupun undang-undang berhubung tanah telah diperkenalkan untuk mengesahkan hak milik tanah tetapi undang-undang ini juga membawa banyak kesan kepada politik di Tanah Melayu. Yang pertama, British telah membahagikan tanah mengikut kegunaan dan nilai kemersialnya seperti tanah ladang, tanah peribumi dan tanah perlombongan. Kadar cukai yang dikenakan terhadap tanah bergantung pada jenis tanah yang dimiliki.
Seterusnya, undang-undang tanah menetapkan individu ataupun syarikat yang berminat untuk mengusahakan sesuatu kawasan tidak lagi perlu mendapat kebenaran daripada para pembesar Melayu tetapi mereka hanya terus mendapatkan kebenaran daripada Pejabat Tanah. Dengan kata lain, undang-undang Tanah British memberikan kuasa yang besar kepada Residen untuk menentukan konsesi tanah yang akan diberikan kepada para pemodal.
Pada 25 November 1913, Akta Simpanan Melayuu telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Persekutuan untuk menjaga kebajikan orang Melayu. Akta ini bertujuan mengelakkan tanah milik orang Melayu berpindah kepada orang asing. Oleh itu, Residen berkuasa mengisytiharkan mana-mana kawasan tanah milik orang Melayu sebagai Tanah Simpanan Melayu tetapi tanah tersebut tidak dibenarkan menanaman getah dan kebanyakan tanah tersebut adalah tidak subuh.
Secara langsung, perkembangan bijih timah dan perusahaan getah telah mendorong British untuk mengukuhkan pengaruh mereka di Tanah Melayu. Dengan hasrat tersebut pihak British telah memperkenalkan Undang-undang Tanah Berhubung yang telah menghakiskan pengaruh pembesar. Hal ini kerana pengusaha tanah tidak perlu lagi mendapat kebenaran daripada pembesar dan terus mendapat kebenaran daripada Pejabat Tanah.

Undang-Undang Tanah dan Dasar terhadap Pekebun Kecil
Undnag-undang Tanah yang liberal telah membolehkan pengusaha asing memiliki tanah untuk penanaman getah. Kerajaan British telah berjaya membatalkan hak milik tanah oleh pembesar-pembesar. Tanah menjadi hak kerajaan dan sesiapa sahaja boleh memohon untuk menanam getah. Pada tahun 1896, undang-undang yang berkaitan dengan penerokaan tanah untuk tanaman getah telah dilaksanakan. Mulai tahun 1897, cukai ke atas tanah yang ditanam dengan getah hanya sebanyak 10¢ seekar bagi 10 tahun pertama. Selepas tempoh tersebut, cukai tanah yang dikenakan hanya 50¢ seekar setahun. Cukai yang dikenakan ke atas getah hanya sebanyak 2.5% bagi tempoh 15 tahun pertama. Selepas tempoh itu, cukai yang dikenakan untuk getah tidak melebihi 5% setahun. Selain itu, mereka yang meneroka tanah untuk tanaman getah diberi hak milik kekal.
Pihak British juga memperkenalkan sistem pengukuran tanah yang tepat dan jelas telah menamatkan pertikaian kawasan merebut tanah, khususnya tanah penanaman getah. Keadaan yang tenteram membolehkan para pengusaha untuk mengembangkan perusahaannya dengan bersungguh-sungguh tanpa merisaukan peristiwa huru-hara berlaku.
Seterusnya pihak British telah memperkenalkan Enakmen Tanah Padi 1917 yang melarang penanaman getah di kawasan penanaman padi untuk mengurangkan jumlah penyertaan pekebun kecil getah terutamanya daripada kalangan orang Melayu dalam sektor perusahaan getah. Seterusnya, pada tahun 1930-an pembukaan tanah-tanah baru untuk tujuan penanaman getah telah dilarang semasa kemerosatan harga getah di pasaran dunia pada awal 1930-an telah membimbangkan kerajaan British yang ingin melindungi pemodal Eropah dengan mengehadkan pengeluaran. Ini disebabkan oleh pelaksanaan Rancangan Peraturan Getah Antarabangsa.
Keseluruhannaya, perkembangan perusahaan getah telah menyebabkan British memperkenalkan Undang-Undang Tanah yang menguntungkan pemodal. Sebaliknya, pihak British juga melaksanaan undang-undang yang menghakiskan orang Melayu. Enakmen Tanah Padi dipandang sebagai dasar mengurangkan pergantungan pengimportan beras dari negara lain tetapinya juga boleh dipandang sebagai kesan politik yang termasklah undang-undang terhadap penanaman getah.
Kesimpulannya  

            Kekayaan hasil bumi dan kesuburan tanah untuk menaman getah merupakan kurniakan Tuhan kepada Tanah Melayu tetapi telah mendorong campur tangan kuasa asing terhadap Tanah Melayu. Pertelingkahan yang berkaitan dengan perlombongan bijih timah telah menyebabkan pihak British memperkenalkan Sistem Residen di Tanah Melayu untuk mentadbir negeri tertentu Dengan pengenalan Sistem Residen di Tanah Melayu telah mula memberi kesan yang banyak terhadap politik di Tanah Melayu terutamanya dalam menghakiskan kuasa Sultan dan pembesar tempatan. Selain itu, kekuasaan Residen di Tanah Melayu telah menyebabkan pihak British memperkenalkan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu untuk mengehadkan kuasa mereka tetapi pelaksanaan ini juga mempengaruhi kuasa seseorang Sultan di Tanah Melayu terutamanya dalam soal tanah. Di samping itu, untuk mengukuhkan kuasa pihak British di Tanah Melayu supaya terus menguasai perlombongan bijih timah dan penanaman getah Undang-Undang Berhubung Tanah telah diperkenalkan. Undang tersebut telah mengubahkan corak pemilikan tanah penduduk tempatan yang asal dan menghakiskan kuasa Sultan terhadap tanah. Selain itu, penanman getah yang berkembang di Tanah Melayu telah menyebebkan pihak British memperkenalkan undang yang memudahkan pemodal asing mengusahakan tanah tersebut tetapi semasa kemerosotan harga getah di dunia pihak British juga telah memperkenalkan Enakmen yang mengurangkan penglibatan orang Melayu dalam penanman getah. 

Sunday 21 September 2014


                                    
Pengenalan
            Sejak awal tahun lagi,Semenanjung Tanah Melayu dikenali sebagai Suvarnabhumi atau bumi emas.Terdapat banyak pelabuhan penting mucul di sepanjang Selat Melaka yang menjadi tumpuan pedagang india,China dan Eropah.Kedatangan para pedagang ini berbeza daripada kedatangan kuasa-kuasa Eropah pada abad ke-18.Perubahan yang berlaku di Eropah telah mendorong kuasa Eropah seperti Peranchis,Britain dan Jerman bersaing untuk mendapatkan tanah jajahan yang kaya dengan bahan mentah bagi memenuhi keperluan perindustrian mereka.
Pertapakan kuasa-kuasa ini telah membawa kepada pengenalan tanaman komersial seperti:getah,tebu,tembakau dan kelapa sawit.Kedatangan British ke Tanah Melayu bermula dengan penguasaan Pulau Pinang pada tahun 1786 oleh Francis Light.Diikuti dengan Singapura pada tahun 1819 dan pangambilan alihan Melaka daripada kuasa Belanda pada tahun 1824.Perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824 mengukuhkan lingkungan pengaruh British di Alam Melayu.Pada masa itu,kuasa British melalui syarikat Borneo Utara telah bertapak di Sabah dan James Brooke telah mengasaskan pemerintahan British di Sarawak.Zaman penjajahan British di Tanah Melayu,Sabah,Sarawak telah memberikan kesan mendalam dan mengubah corak ekonomi,politik dan sosial masyarakat  tempatan.
                 
Kesan dari segi Sosial
Kepesatan pembangunan sektor pertanian dan perlombongan oleh colonial British telah menyebabkan berlakunya masalah kekurangan tenaga buruh tempatan untuk memenuhi keperluan aktiviti ekonomi di Tanah Melayu.Bagi mengatasi masalah ini,pihak British telah membawa masuk tenaga buruh dari luar untuk bekerja dalam sektor pertanian dan perlombangan.Buruh dari India telah dibawa secara beramai-ramai untuk bekerja di ladang getah.Tenaga dari China pula dibawa masuk bekerja di lombong bijih timah.Kedatangan buruh China dan India ke Tanah Melayu sedikit sebanyak telah dipengaruhi oleh faktor-faktor yang mendorong mereka untuk meninggalkan Negara masing-masing.
Selain galakan kerajaan Kolonial British agar mereka berhijrah ke Tanah Melayu,penghijrahan meraka juga tidak pernah ditentang oleh orang Melayu.Kedatangan buruh dari China secara besar-besaran bermula sejak awal abad ke-19 lagi.Kebanyakan buruh China yang datang ke Tanah Melayu berasal dari wilayah selatan China seperti:Kwangtung,Kwangsi,Fukien.Hubungan tradisi antara Tanah Melayu dengan India telah mendorong mereka berhijrah ke Tanah Melayu.Kemakmuran Tanah Melayu yang sedang pesat membangun dari segi ekonomi melalui perusahaan getah dan bijih timah telah membuka banyak peluang pekerjaan kepada kaum imigran.Pemerintahan British telah mewujudkan kestabilan politik di Tanah Melayu yang bukan sahaja telah menarik pemodal tetapi buruh asing juga untuk ke sini.
Jalan Kereta Api
      Jalan kereta api telah dibina oleh Pihak British adalah untuk mempercepatkan penghantaran bijih timah dari kawasan perlombongan dan juga penghantaran getah dari kawasan perladangan getah ke pelabuhan-pelabuhan untuk tujuan pengeksportan.
      Pembinaan jalan kereta api boleh dibahagikan kepada tiga fasa.Fasa pertama adalah dalam lingkungan tahun 1885 hingga 1896.Jalan kerata apai dibina untuk memenuhi keperluan perlombongan bijih timah.Dengan itu jalan kerata api dibina di kawasan yang berdekatan dengan perlombongan bijih timah seperti negeri-negeri sebelah pantai barat.
       Landasan kereta api yang pertama dibina pada tahun 1885 yang menghubungkan antara Taiping dengan Port Weld pada bulan Jun 1885.Landasan ini dibina untuk menyediakan perkhidmatan bagi perindustruan bijih timah di Larut.Selain itu landasan kerata api yang lain dibina adalah dari Kuala Lumpur ke Bukit Kuda(1886),Klang ke Port Dickson(1891),Tapah Road ke Teluk Anson(1897).
       Fasa kedua melibatkan pembinaan antara tahun 1877 hingga 1909.Pada peringkat ini pembinaan jalan kereta api adalah untuk menghubungkan antara bahagian utara dengan bahagian selatan Semenanjung.
       Selepas pembentukan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu,jalan-jalan kereta api yang sedia wujud mula disambungkan atas inisiatif Sir Frank Swettenham dan dikendalikan oleh Sistem Kereta api Negeri-Negeri Bersekutu.Pada tahun 1903 Prai disambungkan dengan Seremban dan juga Seremban ke Gemas.Pada tahun 1909 jalan kereta api menghubungkan Gemas dengan Johor Bahru dan 1923 di antara Johor dengan Singapura.Di utara Prai disambungkan dengan Padang Besar(1918) dan terus ke Thailand.Jalan kereta api di Gemas telah dipangjangkan hingga ke Tumpat,Kelantan melalui Kuala Lipis,Pahang dan terus ke Sungai Golok,Siam.Selain itu juga dijalankan pembinaan landasan kereta api yang menuju kea rah pantai timur.Menjelang tahun 1904 semua kawasan perlombongan bijih timah di Selangor,Perak dan Negeri Sembilan telah mempunyai perkihdmatan kereta api.
       Pembinaan jalan kereta api dalam fasa kedua bukan atas kepentingan perlombongan bijih timah sahaja malah juga atas kepentingan sector perladangan getah.Pihak British telah memastikan pembinaan jalan kereta api ini dapat memudahkan hasil getah dapat dibawa dengan mudah ke pelabuhan untuk tujuan pengeksportan ke luar negeri.
       Fasa ketiga pula melibatkan pembinaan jalan kereta api antara tahun1910 hingga tahun 1931.Pembinaan jalan kereta api telah juga meliputi negeri Kedah,Perlis,Johor,Kelantan dan Terengganu.Setiap negeri di Semenanjung telah duhubungkan dengan jalan kereta api meliput timur dan barat,utara dan selatan.
       Pembinaan jalan kereta api di Sabah telah dimulakan pada tahun 1896 di Bukau yang terletak kira-kira 13 kilometer dari Weston.Pada tahun 1900 pula jalan kereta api dibina untuk menghubungkan Beaufort dengan Jesseltob dan dipanjangkan jalan kereta api sehingga ke Tenom.Pembinaan jalan kereta api Sabah adalah untuk kegiatan pembukaan lading-ladang getah.Pembinaan jalan kereta api di Sabah tertumpu di kawasan pantai barat Sabah.Di Sarawak tiada rekod tertentu menunjukkan pembinaan jalan kereta api.
Perkembangan Bandar
      Perkembangan ekonomi,terutama perusahaan getah dan bijih timah mengakibatkan kemasukan buruh secara beramai-ramai dari India dan China.Secara tidak langsung ia mewujudkan masyarakat yang majmuk di Negara ini,terutama negeri-negeri di pantai barat Tanah Melayu.
      Pada kurun ke-19,bandar-bandar baru muncul akibat kegiatan ekonomi seperti perlombongan bijih timah dan perladangan.Pembinaan jalan raya dan kereta api juga memudahkan kemunculan bandar-bandar  baru.Beberapa Bandar baru berkembang di Larut,Kinta dan Lembah Kelang.Antara bandar-bandar yang muncul dari kegiatan perlombongan bijih timah termasuk Lukut,Kampar,Kuala Lumpur,Taiping,Ipoh ,Seremban dan Rawang.
      Beberapa factor yang mempercepatkan proses inin ialah pertambahan bilangan penduduk dengan kemasukan buruh dari India dan China.Di bandar-bandar ini,terdapat berbagai-bagai jenis kemudahan seperti perkhidmatan pos,telegraf,sekolah dan kedai.Selain kemudahan-kemudahan moden,kedudukan yang strategic juga menyebabkan beberapa bandar berkembang menjadi pusat perdagangan.Contohnya Kuala Lumpur.
     Di Perak,Taiping menjadi pusat pentadbiran pada tahun 1876.Taiping dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan yang sesuai dengan kedudukannya sebagai pusat pentadbiran.Teluk Anson merupakan satu lagi bandar yang penting di Perak.Kawasan perbandaran Teluk anson merangkumi tiga petempatan yang penting iaitu Teluk Mak Intan,Pasir Bedamar dan Durian Sebatang.Leftenen Gabenor Pulau Pinang yang membantu dalam merancang pembinaan bandar Teluk Anson.Oleh itu,bandar ini dinamakan sempena nama beliau.Teluk Anson menjadi pusat pentadbiran bagi kawasan Hilir Perak yang meliputi kawasan-kawasan yang kaya dengan bijih timah seperti Kinta.Kini,kerajaan telah menukar nama Teluk Anson kepada Teluk Intan.
     Proses urbanisasi bertanggungjawab membangunkan beberapa bandar seperti Ipoh,Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang menjadi tumpuan penduduk.Komposisi penduduk Tanah Melayu mula berubah dengan kemunculan masyarakat majmuk.

     Kaum India dan Cina lebih banyak menetap di kawasan-kawasan bandar manakala orang Melayu menetap di kawasan luar bandar.Proses urbanisasi sebelum kemerdekaan meluaskan jurang perbezaan antara kaum-kaum di tanah air kita.
      Proses urbanisasi juga dapat dikesan di Sabah dan Sarawak.Walaubagaimanapun proses ini tidak begitu ketara atau cepat.Bandar utama di Sarawak ialah Kuching.Kuching dibuka pada tahun 1830-an atas usaha pembesar-pembesar dari Brunei.Kuching berkembang dengan cepat sebagai pusat perdagangan dan pentadbiran Sarawak.Bandar ini dilengkapkan dengan jalan raya,bangunan moden,persekolahan,hospital dan pejabat pos.
      Bandar-bandar seperti Sibu dan Miri juga dimajukan.Pada tahun 1910 petroleum telah dijumpai di sini dan ini menyebabkan pembangunan bandar Miri.
      Bandar-bandar utama di Sabah pula ialah Kudat,Jeseelton dan Sandakan.Kompeni Berpiagam yang memerintah Borneo Utara pada masa itu telah menjadikan Kudat sebagai ibu negeri.Kemudian pada tahun1883 ibu negeri Sabah ditukar ke Sandakan.Sandakan terletak berhampiran dengan kawasan perindustrian kayu balak.Ini menjadi satu factor yang menggalakkan perkembangannya.Bandar Jesselton diasakan pada tahun 1900.Pada tahun 1967 Jesselton dikenali sebagai Kota Kinabalu dan menjadi ibu negeri Sabah.Perusahaan getah membawa kekayaan kepada bandar ini.Jalan kereta api juga dibina dari Jesselton ke Beaufort.
Kesimpulan
Ekonomi komersial Tanah Melayu dimulakan dengan perkembangan perusahan bijih timah diikuti dengan perusahaan getah berikutan campur tangan British di Negeri- negeri Melayu pada tahun 1874.Kedua-dua perusahaan ini menjadi nadi dan sumber pendapatan utama Tanah Melayu sehingga  abad ke 20.

Perkembangan perusahaan bijih timah dan getah adalah asas pembentukan ekonomi    berbentuk komersial di Tanah Melayu pada abad ke 19 dan 20.Perkembangan kedua-dua perusahan ini bukan saja membantu perkembangan ekonomi bahkan membantu meningkatkan taraf hidup penduduk Tanah Melayu.